Sunday, June 15, 2008

Surat Terbuka Kepada Teman-Teman Yang Akan Pulang Bercuti


Fenomena azhari pulang ke tanah air pada musim cuti pengajian bukan perkara asing lagi. Peningkatan Bilangan yang pulang dalam tempoh dua tiga tahun ini agak ketara jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang sebelumnya.

Harga pasaran minyak antarangbangsa yang meningkat naik turut memberi kesan peningktan kepada harga tambang bagi syarikat-syarikat penerbangan. Namun ianya bukanlah penghalang kepada azhari pada tahun ini untuk pulang bercuti di tanah air. Kerana harga tambang penerbangan pada tahun ini masih dilihat tidak terlalu tinggi jika hendak dibandingkan dengan harga tambang pada tahun lepas.

Ada yang melihat kekerapan azhari pulang bercuti adalah suatu fenomena yang negatif, dengan alasan waktu cuti daripada kuliah sebenarnya masa untuk azhari menghadam semula apa yang telah dipelajari sebelum ini di bilik-bilik kuliah di Universiti al Azhar, disamping memperkayakan lagi dengan mengikuti kelas-kelas pengajian luar atau melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti berpesatuan. Namun tidak kurang pula yang menganggap pulangnya azhari ke tanah air di musim cuti adalah positif malahan penting berdasarkan kepada berhjatnya masyarakat kepada golongan azhari untuk mendapingi mereka.

Tulisan ini bukan untuk membahaskan keputusan yang telah dibuat samada untuk pulang ataupun tidak. Apatah lagi untuk menafi dan mengithbatkan mana-mana pihak. Kerana setiap daripada keputusan yang telah diambil punya alasan dan sebab –sebab yang tersendiri. Sepastinya saya akan menyokong sebarang keputusan yang telah diambil.

Namun negatifnya tetap akan berlaku kepada sahabat yang pulang ke tanah air, jika kepulangan tersebut gagal untuk menjadi seorang ‘azhari’ yang sinonim dengan amal-amal dakwah dan kerja-kerja berkebajikan.

Jika anda pulang dengan matlamat tunggal hanya untuk melepaskan rindu kepada orang-orang tersayang sahaja tanpa bermatlamatkan kepada tujuan-tujuan lain. Maka kesilapan besar telah berlaku. Sepatutnya dimuhasabah dan disettingkan kembali niat sebelum anda berangkat tinggalkan Mesir.

Sebagai seorang yang mempunyai kesedaran Islam, beramal dan menyampaikan ajaran Islam adalah suatu perkara yang wajib. Bercuti dengan maksud turut bercuti daripada melakukan sebarang tugasan dakwah adalah sebesar-besar fitnah yang sedang menghantui golongan Mahasiswa al Azhar.

Dalam keadaan masyarakat Islam semakin jauh dengan ajaranya. Mengambil sikap tidak terlibat dan hanya menjadi penonton sahaja adalah suatu pengkhianatan kepada amanah. Justeru inisiatif, mencuba dan berusaha adalah suatu yang perlu. Kerana apa yang diambil kira oleh Allah s.w.t adalah tahap penglibatan bukan pula hasilnya.

Setiap individu memiliki tahap kemampuan yang berbeza untuk melakukan kerja-kerja dakwah. Berdasarkan kepada tahap kefahaman, pengalaman dan seni dakwah yang dimiliki. Kalau pun tidak mampu untuk berceramah, berkuliah di khalayak. Namun insan terdekat yang berada disamping seumpama ibu bapa , adik beradik, jiran dan kawan tetap menjadi madu’ yang perlu ditunjuk ajar. Semudah ajaran lisanulhal melalui pameran akhlak mulia yang keberkesanannya mampu mengatasi ucapan-ucapan berapi.

Paling mengecewakan jika kewujudan azhari dalam entity masyarakat gagal untuk diambil manfaat apatah lagi untuk memberi manfaat. Lebih-lebih lagi jika terlibat dengan aktiviti-aktiviti maksiat yang boleh menjadi fitnah kepada keizzahan nama al Azhar itu sendiri.

Menolak sebarang jemputan daripada masyarakat supaya memberikan kuliah-kuliah agama atau mengelak daripada melakukan amal kebaikan yang hasilnya boleh diambil manfaat oleh masyarakat, adalah tindakan seolah mereka sedang menutup pintu-pintu dakwah yang sedia terbuka luas. Sedangkan ada segolongan yang lain sedang berhempas pulas mencari ruang bagaimanakah untuk menyebarkan Islam walaupun dalam keadaan yang penuh dengan kesukaran dan kepayahan.

Kepada sahabat-sahabat yang bakal pulang, diharapkan kehadiranmu adalah suatu penantian, kewujudanmu suatu pencerahan dan pemergianmu suatu kehilangan. Saya tujukan harapan ini kepada sahabat-sahabat terutama yang mengakui diri mereka Mahasiswa Islam serta merasa bertanggungjawab untuk memimpin masyarakat demi memperkasakan keizzahan Islam.

Mudah-mudahan kita semua diberikan kekuatan untuk beramal dan mengaplikasikan ajaran Islam ke dalam Masyarakat. Semoga kepulangan anda kali ini sesuatu yang menguntungkan untuk Islam dan diri sendiri. Selamat pulang dan Selamat Berjuang.

No comments: