Sunday, June 15, 2008

Bismillah


Dengan nama Allah yang amat pemurah lagi maha pengasihani. Alhamdulillah, kiranya hari ini satu sejarah baru tercipta dalam sejarah hidup saya sendiri setelah berjaya melahirkan satu blog milik peribadi. Dengan nama Allah saya mulakannya mudah-mudahan blog ini berkelansungan dan jika berakhir pun jua adalah keranaNya.

Kebiasaanya posting pertama di laman-laman blog agak tertarik untuk dibaca. Mungkin padanya akan menggambarkan persepsi awal terhadap penulisnya. Namun bagi saya tulisan ini biasa sahaja tidak lebih daripada celoteh yang berbaur rasa gembira si penulisnya.

Hari ini saya gembira. Saya cuba kongsikannya di sini. Kata orang kepuasan sebenar seorang penulis ialah bilamana dia mampu meluahkan isi hati dan buah fikirannya ke dalam bentuk tulisan. Kalaupun saya tidak akan merasa kepuasannya nanti, setidak-tidaknya ia memberi guna untuk saya insan baru yang masih merangkak dalam menulis menilai di tahap manakah kemampuan saya.

Hari ini kelahiran blog-blog baru bukan lagi suatu yang pelik, malahan tidak mustahil suatu hari nanti siapa yang tidak memiliki blog sendiri pula akan dilihat pelik.

Sebenarnya perasaan ingin memblog telah lama berputik. Namun disebabkan saya tidak memiliki komputer sendiri sedikit sebanyak membantuk hasrat ini. Kini ianya telah dapat diatasi. Ditambah pula dengan saranan daripada kawan-kawan. Ada yang mencabar dan tidak kurang juga ada yang menyindir. Apapun, semuanya itu baik kearah menambahkan lagi motivasi saya sehingga terhasilnya blog ini.

Menghasilkan blog tidak sepayah untuk menulis dan konsisten pula dalam menulis. Walaupun blog ini agak ketinggalan jika hendak dibandingkan dengan sahabat-sahabat terdekat yang telah lama memiliki blog sendiri. Sebahagianya saya lihat aktif dan bertambah aktif. Namun ada juga yang dilihat telah pun terkubur.

Saya juga meletakkan harapan dengan terhasilnya blog ini saya menjadi semakin rajin untuk membaca dan menulis, selain daripada ianya boleh dijadikan medium transformasi ilmu dan thaqofah kepada diri ini. Doakan saya.

Tidak lupa untuk saya rakamkan jutaan terima kasih kepada saudara Khairul Naim dan Anwar Isnin yang banyak membantu saya dalam menyiapkan blog ini.

Doakan saya semoga diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t untuk istiqamah dalam menulis. Menulis dengan disiplin ilmu yang boleh dipertanggungjawabkan. Menulis kerana mencari redhaNya. Semoga tidakkan terkubur di tengah jalan. Dengan harapan masa yang akan dihabiskan kerananya bukanlah sesuatu yang sia-sia.

No comments: