Berita pembatalan daripada PMRAM terhadap MKKK daripada meneruskan roadshow kitab Mengapa Aku Tinggalkan Syiah baru-baru ini telah mencetuskan pelbagai repon dan riaksi balas dikalangan Mahasiswa.
Isunya nampak remeh jika hendak dibandingkan dengan pembatalan MOU daripada pihak al Azhar dengan beberapa institusi-institusi Pengajian Islam di tanah air baru-baru ini. Namun isu pembatalan daripada pihak PMRAM ini gempaknya tampak lebih bravo. Mengundang lebih ramai pihak untuk menyatakan pandangan. Ramai pihak yang tampil untuk menyokong PMRAM di atas tindakannya dengan alasan dan pandangan yang pelbagai. Namun, tidak kurang juga yang menemplak dan mengkritik PMRAM juga dengan alasan yang bermacam-macam.
Apapun tindakan daripada individu-individu yang terlibat sebagai pemain dengan melontarkan pelbagai komentar dalam hal ini samada yang memakai jersi pemain pertahanan ataupun penyerang di pihak lawan, ianya tetap menjustifikasikan isu ini untuk dilihat sebagai satu perlawanan yang kontroversi.
Saya tidak mahu terlibat dalam polimik ini , dari sudut untuk menyokong atau membantah tindakan mana-mana pihak. Walaubagaiman pun saya memuji tindakan susulan yang telah diambil oleh pihak PMRAM yang akan mengadakan satu majlis khusus secara terbuka di dataran hayyu Asyir bagi menjelaskan situasi sebenar kepada ahli.
Penjelasan terbuka diharap akan menghentikan tindakan pihak-pihak pengkritik yang suka mengkritik dengan kritikan liar yang bias untuk menyokong mana-mana pihak walau pun hakikatnya jauh daripada kebenaran sebenar.
Abaikan sebentar isu ini dan biarkan ianya berlalu begitu sahaja sehingga ke hari program penjelasan yang akan akan dianjurkan PMRAM nanti. Terlibat dalam polimik ini dengan terikut-ikut api kontroversi yang dimainkan tidak membawa kepada apa-apa kebaikan. Lantaran saya meyakini pada hari tersebut akan tersingkap hal yang sebenar kepada ahli, justeru saya menyeru kepada teman-teman untuk hadir beramai-ramai ke program tersebut..
Mengkritik suatu tindakan terpuji jika ianya benar-benar bertujuan untuk membina, pula disertakan dengan cadangan-cadangan yang bernas. Namun jika tujuan mengkritik jauh daripada matlamat untuk membantu dan membina maka ianya suatu yang keji. Apatah lagi jika suatu kritikan itu berupa fitnah dan menghujum tanpa sebarang asas yang boleh dipertanggungjawabkan.
Jauh dari sudut hadit hati, rasanya kecewa dengan sikap teman-teman yang cepat melatah, terburu-buru untuk meluahkan persaan dan terlalu mudah untuk membuat kesimpulan. Walhal kita selaku seorang muslim diajar supaya bersabar dan menilai dengan pertimbangan yang adil dengan mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak yang bertelagah sebelum membuat sebarang keputusan.
Lebih menyedihkan lagi ada yang tampil mengkritik dengan penuh emosi menyentuh batang tubuh individu yang terlibat dengan sentuhan yang berbau celaan. Jelas perkara ini jauh daripada etika dan disiplin mengkritik yang diajar oleh agama Islam. Tindakan seumpama ini tidak lebih daripada membuka pekung sendiri kepada umum untuk dinilai sebagai sorang azhari yang belum matang dalam mengandaptasikan ilmu yang dipelajari dengan isu yang sedang dihadapi.
Nasihat saya ,dalam hal ini kita selaku ahli lebih sesuai untuk berada dipersimpangan diantara kedua-dua belah pihak. Kita tunggu sehingga ke hari program penjelasan yang akan dianjurkan PMRAM nanti. Jangan kerana hanya perkara yang remeh begini nilai ukhuwwah islamiah sesama kita pula tercalar. Kadang-kadang kita tidak perlu untuk menjadi pemain cukup dengan hanya menjadi penonton sahaja.